Assalamualaikum
"Dan untuk memupuk keimanan ini, maka satu proses disediakan oleh Allah untuk manusia lalui iaitu proses tarbiah atau didikan. Dan ketahuilah bahawa kehidupan itu satu didikan, pembacaan anda kepada tulisan saya ini juga satu didikan. Didikan untuk membina keimanan dan kembali yakin kepada Allah SWT." **
Jika ada yang ingin tahu, saya kebelakangan ini mempunyai sedikit masalah untuk kembali menyusun kata dalam menulis blog. Saya ada masalah untuk menyusun apa yang saya rasa dalam bentuk perkataan. Sedangkan jiwa sangatlah berkeinginan untuk menulis, meluahkan, berkongsi dan pada masa yang sama dapat mengajar diri sendiri dan jika diizinkan Allah, dapat orang lain beroleh manfaat juga.
Jika diperhatikan 2 atau 3 entry sebelum ini, semuanya agak mudah untuk disusun ayatnya. Contoh, pengumuman tentang imtihan ataupun peperiksaan. Mudah sahaja, nyatakan tarikhnya. Itu tak memerlukan susah payah dari segi menyusun kata. Dan ada juga entry berbentuk lirik lagu. Tapi secara jujurnya, lirik lagu itu memang menggambarkan apa yang saya rasa pada saat itu. (Dan kini juga)
Semalam, saya juga cuba untuk post entry baru, tetapi end up menaip dan delete..menaip dan delete...dan perkara ini berlaku selama setengah jam. Parah..
Saya ada terbaca di satu tempat, ada orang kata, blog yang baik adalah blog yang diupdate setiap hari. Sebabnya, dengan cara ini, minda dan dirinya dapat berkongsi dengan masyarakat tanpa putus dan pada masa yang sama dapat melatih dirinya juga untuk menjana idea-idea baru dalam penulisan.
Saya juga perasan akan hal ini. Pernah satu masa, dengan izin Allah, saya berupaya post 2 entries dalam satu hari. Dan pada keesokan harinya, post lagi another entry. Tapi selepas lama ditinggalkan akibat kesibukan belajar dan kesibukan aktiviti berpersatuan pada ketika itu, tak diupdate blognya dan bila mahu mula semula, habis kering idea. Tak tahu nak tulis apa. Nak berkongsi pun gagal, sebab tak tahu mahu mula di mana. Parah juga ni.
Masa cuti ini, saya turut menghabiskan masa dengan cuba untuk menghabiskan bahan bacaan yang tertangguh. Lebih kurang 10 buku yang pelbagai ketebalan. Dan tadi saya sampai ayat kepada potongan teks di awal entry ini.
Itulah sebenarnya yang saya rasa saya ingin ekspresikan semalam. Yang saya kata saya hanya menaip dan mendelete selama setengah jam tu.
Saya bukan mahu post sesuatu yang fakta pun, tapi sekadar ingin berkongsi. Seperti yang saya katalah, tak tahu mahu mula di mana.
Tarbiah. Satu perkataan yang agak asing buat diri jikalau disebut semasa zaman sekolah. Mungkin sebab saya hanya bersekolah di sekolah harian biasa. Sekolah tipikal di bandar. Saya rasa semua orang tahu dan faham.
Alhamdulillah, sekarang saya menuntut di UIAM. Mungkin ada yang kata, "Islami ke??". Mungkin juga ada yang mahu kata, "UIA, nama je universiti islam. Tapi tak lah islamik mana pun. Nama je. Budak nakal ramai je"
Ya, betul. Tapi bukan 100% betul. Sebab saya tahu, ada di antara mereka yang mula mengenal apa itu Islam, mula belajar perkara baru. Mula faham sesuatu perkara dengan lebih baik (insyaAllah) dan malah, ada juga baru tahu bahawa isu Palestin itu adalah kayu pengukur keimanan umat Islam dan betapa pentingnya isu Palestin ini. Ada juga yang menjadikan UIA sebagai tempat mereka mula mengenal apa itu tarbiah dan mula melaluinya. Kedengaran seperti lambat je untuk ditarbiah tetapi ingat, susunan Allah itu pelbagai. Apa yang penting, manusia boleh berubah dan berubah kepada kebaikan itu adalah terbaik bagi sesiapa pun. Jangan menilai sesedap hati jika kamu tidak tahu apa rasanya "berubah".
Mungkin ada juga yang berkata, "sekolah aku sebelum ni lagi islamik. jauh lagi bagus dari UIA."
Alhamdulillah. Ketahuilah, kamu sangat bertuah. Bertuah kerana pernah merasa nikmat suasana islam itu semasa di bangku sekolah. Malah sudah tahu apa itu usrah, tarbiah, fikrah dan beberapa perkataan lain. Mungkin perkara ini agak mudah dan remeh kerana kamu sudah tahu. Tapi ada satu perkara lagi yang kamu patut tahu, tak semua orang dapat merasa perkara itu.
Pada hakikatnya, setiap manusia itu diberi peluang. Setiap hari. Tak kisah lah dia berada di mana pun. Tak kisahlah dia pelajar institusi pengajian mana pun. Saya sudah biasa dengar, "Biasalah tu berubah. Budak UIA kan". Tidakkah orang yang berkata itu sedar, dia seolah-olah memperkotak-katikkan usaha orang yang berubah itu. Menimbulkan kategori pula kononnya, budak UIA sahaja boleh berubah. Dia perlu tahu pengajaran yang diberi Tuhan ada di mana-mana. Bukan di universiti, sekolah atau tempat tertentu sahaja. Malah seluruh pelusuk bumi!
Jika dilihat pada potongan teks di atas, membaca juga satu didikan. Dan saya yakin akan perkara ini. Minda saya banyak terbuka dengan perkara-perkara baru dan penjelasan banyak terjawab melalui pembacaan.
Ada orang bila lihat sahaja artikel yang berbentuk peringatan dan diselitkan dengan ayat-ayat Al-Quran, mereka akan rasa ini merupakan artikel biasa yang mereka pernah lihat sebelum ini dan juga artikel-artikel itu pun mereka tak mahu fahami satu persatu. Kenapa agaknya saya berkata-kata seperti saya tahu apa yang mereka rasa?
Sebab dulu, saya pernah buat perkara yang sama. Saya mengaku dan bagi saya itu adalah salah satu kerugian yang pernah saya alami selama saya hidup. Dan kerugian itu adalah disebabkan KEDEGILAN saya sendiri.
Degil, walaupun sudah terang lagi bersuluh orang mahu tolong kita untuk faham. Degil walaupun kebenaran itu sudah terpampang depan mata dan DEGIL untuk mengaku bahawa diri itu salah 100%. Degil, degil, degil!
Sudah tiba masa kita perdalamkan ilmu dan berkongsi. Apa yang kita sudah tahu, kita sampaikan pada orang lain dengan niat agar dia juga beroleh manfaat sepertimana yang telah kita peroleh. Jika dia tidak mahu ikut setelah kita berusaha dengan sebenar-benar usaha, maka berdoalah agar terbuka hatinya sepertimana Allah telah membuka hati kita. Saya selalu ingat pesanan seorang yang rapat dengan saya, "Jika hatinya terbuka dan berubah, jangan terbit dalam hati kita dengan mengatakan "Perubahan si fulan itu adalah disebabkan aku. Sebab aku berusahalah dia berubah.". Tetapi sesungguhnya semua adalah milik Allah. Hidayah itu milik Allah."
Di dunia ini, Allah tidak memandang hasil yang kita peroleh, tetapi Dia melihat usaha yang kita lakukan. Sepanjang tempoh usaha itu, apa yang kita lakukan. Sebab boleh jadi, hasil yang kita peroleh itu nampak sangat indah tapi usaha yang dilaksanakan untuk memperoleh hasil itu, tiada satu pun langkah usaha yang diredhai Allah. Semoga kita dapat sentiasa mengingatkan diri, usaha yang kita lakukan di dunia bakal menentukan hasil diakhirat nanti. Sebab apa 'hasil diakhirat nanti' dan bukan hasil di dunia ini? Kerana hasil di akhirat kelak adalah sebaik-baik hasil. Hasil yang kekal abadi.
Wallahualam.
**Petikan teks dari Langit Ilahi : Tuhan Tidak Lupakan Kita, Bab 52 oleh Hilal Asyraf
No comments:
Post a Comment