Assalamualaikum
Hidup ini kerana Allah. Ya, kita semua tahu hakikat ini.
Tetapi sebentar tadi, ketukan di hati terasa sangat kuat apabila membaca sesuatu daripada blog seseorang. Berkenaan dgn niat dlm melakukan apa sahaja kerana Allah. Mungkin ini satu titik tolak bagi saya agar lebih faham tentang hakikat yg kita ketahui itu, yakni semuanya kerana Allah.
Kita ni, dalam melakukan apa sahaja, jika matlamatnya hanya kerana Allah, saya yakin, tiada apa perlu kita sesalkan walau apa pun konsekuensi terhadap perkara yg kita lakukan. Apa sahaja yang dilakukan kerana Allah semestinya perkara yg baik bukan? Masakan kita harus berduka cita andai perkara yg kita lakukan kerana Kekasih kita itu mendatangkan kesan yang tidak memenuhi kehendak kita? Kita seharusnya berasa tenang sahaja kerana pengajaran yang diberi oleh Kekasih kita sudah tentu yang baik-baik sahaja bukan? Nama pun Kekasih, sudah tentu Dia beri yang baik-baik sahaja, kerana Dia menyayangi hamba-hambaNya.
Ada sebahagian yang bergelar pelajar, tujuan dia belajar adalah kerana mahukan kerja yang bagus-bagus. Yang boleh menjamin kehidupan di kemudian hari. Ya, itu kebenaran. Tapi bukan kebenaran secara keseluruhannya.
Kalau kita letak bahawa kita belajar kerana mahu menuntut ilmu Allah SWT, walaupun kita tak mendapat pekerjaan yang kita mahukan, tidakkah kita dikira sudah beruntung kerana mempunyai ilmu yang Allah berikan? Sudah tentu ilmu itu boleh dikongsi dgn masyarakat dalam pelbagai cara. Manusia kan kreatif, carilah bagaimana cara sekalipun.
Orang yang belajar kerana Allah, tidak akan berkata bahawa dia menyesal dgn ilmu yang dia telah bersusah-payah tuntut hanya kerana dia tak dapat apa yg dia mahu.
Hakikatnya, dia perlu sedar, jika Allah makbulkan kehendaknya, itu satu bonus. Jika Allah tidak makbulkan, itu tanda Allah mahu ajar kita, Dia mahu beri pengajaran.
Rabbmu sedang memberi tunjuk ajar, maka pandanglah dan ambil pengajaran.
Sebab itu kebergantungan kepada Allah akan melahirkan insan yang tenang dan tidak cepat melatah walaupun diduga macam mana sekalipun.
Walau apapun yang berlaku, jika kita pegang bahawa apa yang kita telah lakukan adalah kerana Allah semata, walau sesukar mana sekalipun, kita tidak akan kecewa. Biarlah orang mahu kata apa sekalipun. Pernah saya mendengar orang berkata, "Kamu ni terlebih redha sangat." Ada ukurankah terhadap sesuatu yang milik Allah? Ada ukuran atau tiada, itu semua diluar pengetahuan kita.
Pandanglah setiap dugaan Allah dengan pandangan yang baik-baik. Seperti yang saya pernah sebut, bersangka baiklah. Carilah kebaikan yang terselindung disebalik dugaan yang kadang-kala kita sangka boleh buat hidup kita tunggang terbalik. Marilah kita sama-sama menjadi hamba yang bijak dalam menggunakan akal fikiran. Allah Maha Kaya, didikanNya terselit terlalu banyak pengajaran. Lebih dari yang kita tahu. Maka, cari dan terus cari..
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment