Pages

Wednesday, June 23, 2010

DASH 3 : Bedah Filem (Slot 2)


Sambungan bagi post DASH yang lalu. Akan ada percampuran bahasa Inggeris dan Melayu. Ini adalah kerana semasa penyampaian, kedua-dua bahasa digunakan. Dlm bahasa apa sekalipun, penyampaiannya insyaAllah sampai kepada yg mendengar.

Slot ini dimulakan dengan pengenalan terhadap media masa kini. 
Characteristics of Media.
  • Hypnotic effects
  • Monopolised by Hollywood
  • Strong influence
  • Revolutionise how we understand and solve problems
  • Withdrawal syndromes (addiction)
Apabila sedang mendengar penyampaian tentang hakikat media massa zaman kini, saya terus teringat tentang siri The Arrivals yang saya baru sahaja selesai tonton pada bulan lepas. Jika ada yang pernah menonton siri The Arrivals, pasti anda telah tahu bagaimana minda kita telah di kuasai oleh media massa yang bertuankan zionis itu dan bagaimana ia telah mempengaruhi cara hidup kita. Paling teruk apabila, ia sampai boleh menjauhkan diri kita daripada Allah SWT. Media yang ada pada zaman kini, ternyata mampu menggugat aqidah seorang Muslim dalam pelbagai cara. Caranya ada yang sangat halus sehingga kita sendiri tidak sedar bahawa dengan cara itu pun kita boleh tertipu. Bagi mereka yang mempunyai akaun Facebook, sila search Noreagaaa & Achernahr production's The Arrivals. Tontonlah dokumentari 50 episod ini. Pengarah dokumentari ini ada berpesan dalam bahagian ke-51(Outro), "Other than the holy verses, all of what we have shared throughout this series should not be taken as absolute truth. But as a well researched presentation to be further investigated by you." Maksudnya, penonton juga berhak membuat kajian sendiri dan menyiasat dengan lebih lagi. Hanya ayat-ayat Al-Quran sahaja yang wajib diambil dengan sepenuh kepercayaan dan tanpa ragu. Lain-lain pendedahan haruslah diselidik oleh penonton sendiri dengan lebih lagi.

Jadi, apa yang boleh kita lakukan tentang media massa kini yang seakan-akan seperti tiada harapan lagi untuk "disembuhkan"?
  • Kita boleh mencipta dan mendapatkan alternatif. Dengan wujudnya anak-anak muda yang ramai mengambil jurusan profesional yang melibatkan arena media, mereka bolehlah menggunakan ilmu yang ada demi kebaikan Islam.
  • Letakkan neraca penilaian taqwa. Dalam memilih apa untuk ditonton, sebagai seorang yang sudah tahu baik dan buruk, kita seharusnya sudah mampu menilai. Jika dilihat perkara itu mampu memberi faedah, ambillah. Jika ternyata, sesuatu yang ditonton tidak akan mampu memberi apa-apa, maka tinggalkanlah serta-merta. 
  • Jadikan Al-Quran dan ilmu sebagai halwa untuk hati dan pemikiran. 
Dalam slot ini, 6 filem telah dilaksanakan 'pembedahan'. 
  1. Lemon Tree (Timur Tengah)
  2. Dead Poet's Society (US)
  3. Men of Honor (US)
  4. The Way Home aka Jibeuro (Korea)
  5. Kiamat Sudah Dekat (Indonesia)
  6. Ip Man (China)
Saya tidak akan ulas secara keseluruhan tentang semua filem. Ini adalah kerana, kami hanya menonton klip-klip tertentu sahaja.


Bagi filem Lemon Tree, klip memaparkan seorang wanita Arab yang berjiran dengan Menteri Pertahanan Israel. Walaupun kita sedar, mungkin wujud konflik yang hebat diantara kedua-dua pihak, tapi isteri kepada Menteri Pertahanan tersebut tidak mempunyai masalah berjiran dengan wanita Arab tersebut malah beliau senang. Saya ada terbaca ulasan tentang filem ini yang menyatakan, "Mungkin filem ini menunjukkan harapan dunia terhadap kedua-dua pihak ini. Harapan untuk membina keamanan sesama mereka"


Bagi filem Dead Poet's Society, klip menunjukkan seorang guru yang dilakonkan oleh Robin Williams mengarahkan anak muridnya mengoyak satu bab dari buku sekolah mereka. Beliau berkata dengan mengoyak buku itu, "You will learn to think for yourself again." Ulasan yang diberi oleh Akhi Akram pula, "Don't accept everything at face value. Kena nilai sendiri. And there is a need to understand other people's emotions and feelings when you're conveying your message. In short, consider others." Bagi saya, jgn syok sendiri. Dalam menyampaikan sesuatu perkara kepada orang lain, kita harus fikirkan kondisi orang yang sedang mendengar. Sesuaikan dengan dirinya. Kenalilah mad'u anda dan bukan hanya terus memberikan pandangan anda. Dan sudah tentu, quote bermakna dalam filem ini adalah, "That the powerful play goes on and you may contribute a verse. What will your verse be?". Perkataan "verse" memberi maksud "sumbangan". Apabila sesuatu itu berlaku, dan kita boleh menyumbangkan sesuatu. Apakah sumbangan yang kita akan beri? Contoh, dalam isu Palestin, apakah sumbangan kita? Adakah kita akan menjadi salah satu agen perubahan dalam kebangkitan Islam nanti? Itu yang perlu kita fikirkan.


Bagi filem Man of Honor. Kisah ini memaparkan kesungguhan seorang askar berkulit hitam dalam memperbaiki dirinya untuk lebih meningkat dalam profesionnya. Tetapi disebabkan sikap racism pihak atasan, pelbagai kesukaran yang terpaksa dilaluinya. Klip yang dipaparkan adalah klip Twelve Steps to Honor. Jika dilihat dalam klip ini, saya terus teringat dengan kalimah Allah, "La yukallifullahu nafsan illa wus'aha". Bererti Allah tidak akan membebani seseorang itu dgn sesuatu yang luar dari kesanggupannya. Dia tabah walaupun di suruh untuk berjalan dengan sut yang berat, diuji dengan sifat racism memandangkan pada era 60-an itu, Amerika berat dengan isu-isu diskriminasi. Selain itu juga, dia bangga dengan dirinya sebagai seorang yang berkulit hitam walaupun pada ketika itu profesionnya sebagai askar marin didominasi oleh mereka yang berkulit putih. Ini memberi pengajaran kepada individu Muslim agar perlu ada rasa izzah dalam diri. Di sini saya quotekan juga maksud izzah yang saya peroleh dari novel VT karya Hilal Asyraf.
"Izzah ini adalah bangga, tetapi bukan kebanggaan biasa. Izzah adalah bangga dengan Islam yang Allah berikan kepada kita. Dengan izzah ini, kita ampuhkan pegangan dan keyakinan kita terhadap segala janji Allah, dan kita mara tanpa menghiraukan tohmahan dan hinaan orang lain kepada kita. 
Izzah juga bermaksud ego, tapi ego yang perlu ada adalah ego yang dianjurkan oleh Islam. Izzah adalah satu perkara yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. Kalau kita sendiri sebagai Muslim tidak berbangga dengan Islam yang kita bawa, bagaimana kita hendak mengajak masyarakat kepada Islam?  "*
Bagi filem The Way Home aka Jibeuro, ternyata memberi kesan yang mendalam walaupun kami hanya dipertontonkan dengan klip pendek. Semalam alhamdulillah, saya telah memuat turun filem penuh. Seorang nenek tua yang bisu tetapi tidak pekak berhadapan dengan cucu lelakinya. Kanak-kanak tersebut dihantar oleh ibunya ke kampung atas sebab-sebab tertentu. Kanak-kanak ini mula mencetuskan pelbagai kerenah yang memang boleh memeningkan dan menggelengkan kepala. Pelbagai jenis kerenah namun nenek ini tetap bersabar. Ini memberi pengajaran bahawa walaupun seseorang itu keras hati, keras kepala, kita harus banyak bersabar. Bersikap sabar itu sendiri boleh mencerminkan terus peribadi seseorang. Walaupun dia tidak menyatakannya secara lisan bahawa dirinya sedang bersabar. Peribadi sebegitu orang sekeliling boleh nampak. Seiring dengan apa yang dianjurkan oleh Islam, menyampaikan sesuatu kepada orang lain dengan cara yang berhikmah adalah lebih baik dari cara lain. Lihat sajalah cara Rasulullah SAW berdakwah, penuh dengan hikmah. Filem ini harus ditonton secara penuh kerana ia benar-benar menyayat hati terutamanya semasa saat-saat mereka berpisah.


The Way Home aka Jibeuro

Bagi filem Kiamat Sudah Dekat, mungkin ramai yang sudah menonton filem ini. Seorang pemuda yang ingin beristerikan seorang gadis yang merupakan anak seorang kiai namun pemuda ini tidak mempunyai ilmu-ilmu agama apabila disoal oleh kiai itu sendiri. Pemuda ini dilihat sangat bersungguh-sungguh mengubah diri demi mendapatkan gadis yang diinginya. Ada satu dialog yang saya sangat setuju dalam filem ini iaitu,
"Cinta itu umpama berhala yang disembah"
Ada orang mampu melayan dan "menghadap" cinta seperti cinta itu adalah satu-satunya yang penting dalam hidup. Tidak dinafikan cinta itu mampu melalaikan manusia. Cinta itu lumrah tapi ia jadi sesuatu yang salah apabila ia menjadikan kita lalai dalam mengingati Allah.


Bagi filem Ip Man, apa yang boleh diambil pengajaran adalah sifat rendah diri walaupun mempunyai sesuatu ilmu yang hebat. Seseorang Muslim juga perlulah sihat dari segi fizikal juga. Jika dilihat dalam 10 Muwasofat Tarbiyah, yang ke-6 dinyatakan "Tubuh yang Cergas". 


Walaupun filem yang ditonton ada yang dari barat, namun carilah kebaikan yang boleh kita peroleh. Tontonlah filem yang mampu memberi pengajaran yang sebenar. Pengajaran yang boleh kita praktikkan dalam kehidupan sebagai seorang Muslim dan insyaAllah sebagai seorang mukmin. Jika dilihat filem yang ada sekarang, kebanyakannya berkisarkan tentang cinta. Ramai yang berminat dengan filem berunsurkan cinta. Namun, secara peribadi, tiada lagi filem yang mampu memaparkan cinta yang sebenarnya yang harus ada dalam diri kita iaitu cinta terhadap Allah SWT kerana definisi cinta manusia zaman ini telah dirosakkan oleh apa yang telah dipaparkan kepada kita.


Carilah sesuatu yang luar dari normalisasi yang kita hadapi pada zaman kini. Semoga filem yang kita tonton bukan filem sampah iaitu filem yang buang masa sahaja untuk ditonton dan tidak mampu memberi apa-apa pengajaran.


Wallahu'alam.


*VT, Hilal Asyraf, m/s 394-395

No comments:

Post a Comment