Assalamualaikum
Alhamdulillah, minggu lepas telah diizinkan Allah untuk menyertai Daurah Siswa Harapan ataupun DASH di Afaq, Subang Jaya, lokasi biasa. DASH kali ini merupakan siri ke-3. Alhamdulillah juga, siri-siri sebelum ini juga Allah izinkan untuk hadir.
Rindu kat Afaq terubat bila mula lihat kawan-kawan lain mula sampai. Saya sampai agak awal rasanya sampai boleh makan kejap di kedai, isi perut sikit sebelum nak isi minda dan hati selepas tu. Bila tahu shj ada DASH hari ini, memang tak sabar. Sbb nak jumpa akhawat2 lain. Kak Kimah yang baru balik dr London pun dapat jumpa juga, alhamdulillah.
Ilmu tanpa perkongsian tak ada gunanya. Tak ada guna kalau simpan sorang2. Berikut saya tuliskan dlm bentuk notes. Supaya ringkas dan mudah difahami, insyaAllah.
Ok. Jom gerak kepada pengisian. :)
Wasiat 1 : Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.
-Jangan pandang ringan terhadap kepentingan solat kerana solat adalah amalan pertama yang akan dihisab. Sekiranya kita mendermakan harta sebanyak mana sekalipun, amalan yang diambil kira dahulu adalah solat.
-Barangsiapa yang mendirikan solat, dia diibaratkan mengukuhkan agamanya.
-Solat tepat pada waktunya adalah antara perkara yang paling disukai oleh Allah
-Menunda solat adalah sesuatu yang bahaya. Diberi contoh : Bagi perempuan, jika dia menunda solatnya, yakni menangguh-nangguhkan solatnya, dibimbangi dia akan didatangi haid secara tiba-tiba. Sedangkan solat yang sepatutnya dia laksanakan belum lagi dia laksanakan.
-Solat mengajar kedisiplinan waktu. Solat awal waktu dapat mentarbiyah diri agar lebih menghargai waktu dalam kehidupan seharian.
Wasiat 2 : Bacalah Al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan jgn buang masa dgn perkara yg tidak berfaedah
-Jika tidak mahir tentang Al-Quran, kita perlu mencari jalan utk mendalami dan memperbaiki bacaan.
-Al-Quran adalah penggilap hati dan penjernih hati
-Sentiasa interaksi dgn Al-Quran dgn sentiasa mengisi masa kosong dgn tilawah dan tadabbur dan mulakan halaqah dgn tilawah dan memerhatikan hukum tajwid pada setiap bacaan.
-Syed Qutb ada mengatakan "Org yang beriman, apabila dia membaca Al-Quran, seolah-olah Al-Quran itu sedang bercakap kepadanya. Menegurnya."
-Bawalah Al-Quran ke mana-mana. Isilah masa dgn perkara berfaedah kerana ini adalah sifat org-org beriman.
-Mungkin ada diantara amalan yang kita tidak biasa buat. Mulakan sahaja dan teruskan. Kamu akan merasa kenikmatannya dan lama-lama ia akan menjadi kebiasaan.
-Contoh, majlis ilmu. Kadang-kadang ada yang pernah berasa malas, berat kaki mahu melangkah. Tapi jika digagahi, yakinlah, selepas itu kamu akan berasa keinginan untuk mahukannya lagi. Majlis ilmu sesungguhnya mengisi jiwa. Mengisi dengan cara yang Allah redha insyaAllah. Menuntut ilmu itu tidak kenal erti cukup.
Wasiat 3 : Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab.
-"Sesungguhnya kami menurunkannya berupa Al Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya." (Surah Yusuf : 2)
-Alangkah bertuahnya jika dapat mendalami bahasa arab ini sepenuh-penuhnya agar kita lebih memahami isi kandungan, bahasa indah bagi surat cinta agung ini. Subhanallah.
Wasiat 4 : Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yg kosong tidak akan memberi apa-apa faedah.
-Pertengkaran hanya akan melukai seseorang kerana setiap orang akan mempertahankan pendapatnya walaupun salah.
-Berdebatlah mengikut tatacara Islam.
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah An-Nahl : 125)
Wasiat 5 : Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dgn Allah itu sentiasa lagi tenteram.
- Tokoh seperti Aristotle sendiri pernah menyatakan "Bagi belia, janganlah tonton hiburan yang menyebabkan banyak ketawa."
-Ketawa yang berlebihan boleh mematikan hati dan fikiran daripada memikirkan nasib dan permasalahan ummat Islam yang menderita.
-Kita hakikatnya perlu sentiasa memikirkan tentang ummat Islam, sahabat-sahabat kita yang menderita setiap masa. Hatta sebelum tidur dan selepas bangun dari tidur.
Wasiat 6 : Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
-Allah sukakan hambaNya yang bekerja dgn itqan iaitu bersungguh-sungguh.
-Allah tidak suka pendakwah yang patah hati, kecewa dan merajuk sehingga meninggalkan usaha dakwah ke atas umatnya.
-Kisah Nabi Yunus yang pernah berputus asa dan ditelan ikan nun perlu dijadikan iktibar. Setelah sedar Allah sedang mengujinya kerana sifat putus asanya, atas ilham yang Allah kurniakan, Nabi Yunus berdoa, “La ilahailla anta. Subhanaka inni kuntu minazzolimin.”
-Kisah Nabi Nuh yang berdakwah selama 950 tahun walaupun hanya segelintir sahaja yang mengikuti apa yang disampaikannya, perlu turut dijadikan kisah untuk diteladani bagi para pendakwah.
-Dalam point ini juga, turut dibincang bahawa jika seseorang itu mahu berbual-bual ataupun berbincang, dia haruslah menunaikan 5 hak iaitu menjawab salam, menunduk dan menjaga pandangan, membuang benda-benda yang menyakitkan (duri,apa-apa yang boleh menghalang laluan), mengerjakan yg ma’ruf dan mencegah kemungkaran.
Wasiat 7 : Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki
-Ini adalah kerana, suara yang nyaring dan melebih-lebih itu adalah sia-sia dan boleh menyakiti hati orang.
“Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan rendahkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Luqman : 19)
-Dalam menarik orang untuk memahami Islam (baik muslim atau non-muslim), perlulah dengan cara yang berlemah lembut dan apa-apa cara yang tidak menyakiti mereka. Sudah tentu mereka tidak mahu berkawan dengan orang yang berkasar.
“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu Telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”
(Surah Ali Imran : 159)
-Bercakap nyaring, menjerkah dengan marah-marah tidak melambangkan sifat pendakwah.
Wasiat 8 : Jauhilah daripada mengumpat-ngumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan lain dan jangan bercakap perkara yang tidak berikan kebajikan
-Sabda Nabi SAW, “Tutuplah aib saudara muslim yang lain, nescaya Allah akan menutup aib kita di akhirat kelak.”
-Sabda Nabi SAW yang lain, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, katakanlah hal-hal yang baik atau lebih baik diam sahaja.”
Wasiat 9 : Berkenal-kenallah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas dakwah adalah berkenal-kenal dan berkasih-sayang
-Ukhuwwah jika dibina atas dasar keimanan sudah tentu akan membuahkan kemanisan iman yang tak mungkin dapat diungkapkan dengan kata-kata bagi mereka yang merasainya.
-Berkenal-kenalan adalah permulaan jika kita inginkan satu perhubungan dan ikatan persahabatan yang dibina dengan kasih sayang kerana Allah.
-“Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al-Hujurat : 15)
-Rukun usrah yang pertama adalah bertaaruf (berkenal-kenalan). Kedua, tafahum yakni mengetahui tentang diri sahabat atau ahli usrah seperti mengetahui kegemaran-kegemarannya. Ketiga, takaful iaitu menolong satu sama lain.
-Langkah pertama untuk bertaaruf juga boleh dilakukan dengan menyebarkan salam.
Wasiat 10 : Kewajipan adalah lebih banyak daripada masa
-Hidup ini penuh dengan kewajipan. Wajibat sebagai seorang muslim, pelajar dan daie.
-Kita tidak seharusnya menunda-nunda pekerjaan yang sudah ada di depan mata kerana pekerjaan lain akan segera menyusul.
InsyaAllah, entry utk Slot 2 : Bedah Filem akan dipostkan kemudian.